Ka-ching Ka-ching! Hello There! Shout To Me No Harsh words allowed here. Thank You Big Thanks
|
Hati saya luluh lihat adik tahan sakit hampir tiga jam – Abang mangsa
Tuesday, 12 October 2010 | 17:14:00 | 0 comment(s)
BATU PAHAT 11 Okt. – Keluarga salah seorang mangsa kemalangan di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berdekatan Plaza Tol Simpang Ampat, semalam, mendakwa ambulans tiba lewat di lokasi untuk menyelamatkan mangsa-mangsa. Goo Chuan Seng, 37, berkata, berikutan itu, adiknya, Goo Chuan Heng, 34, terpaksa menahan kesakitan selama hampir tiga jam di dalam van yang remuk, tanpa diberi sebarang bantuan. Menurutnya, ambulans hanya tiba di lokasi kejadian pukul 9.30 malam sedangkan kemalangan itu berlaku pada pukul 6.45 petang. Chuan Seng berkata, dia bertolak dari Batu Pahat bersama ibu dan bapanya sejurus dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh kakaknya, Goo Ai Wah, 41, yang turut berada di dalam van tersebut. “Saya mendapat tahu kemalangan pukul 6.45 petang dan sampai pada pukul 8.30 malam sedangkan ambulans sejam selepas itu. “Saya terus meluru ke arah adik dan alangkah luluhnya hati melihat Chuan Heng menahan kesakitan. Saya sendiri menarik keluarnya dari van sebelum dia meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di rumah keluarganya di Taman Maju di sini hari ini. Chuan Seng berkata, akibat kesesakan jalan raya, dia terpaksa menumpang motosikal sejauh empat kilometer sebelum dapat sampai ke lokasi dan memberi bantuan awal kepada adiknya. Katanya, ketika kejadian, Chuan Heng yang merupakan peniaga pakaian sedang dalam perjalanan pulang dari Kajang ke Batu Pahat bersama kakaknya. Katanya, anak keenam daripada 10 beradik itu meninggalkan seorang balu yang tidak bekerja dan dua anak masing-masing berusia tiga dan enam tahun. Menurut Chuan Seng, tambah mengecewakan, dia kemudian dimaklumkan menunggu adiknya itu di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)di Seremban namun sebaliknya berlaku apabila mayat dihantar ke Hospital Melaka. Menurutnya, kakaknya yang turut berada di dalam van kini masih dirawat di Hospital Melaka. Sementara itu, bapa mangsa, Goo Ah Ling, 70, berkata, mayat Chuan Seng tiba di Batu Pahat pukul 10 pagi dan akan dikebumikan Rabu ini di Jalan Tanjung Laboh berdekatan Sungai Suloh, di sini. |